Hadis 40 sebagai sendi dan asas agama Islam

Disember 11, 2012 § 1 Komen

Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya

Menguasai ilmu itu ada cabang dan tahapannya. Laksana anak kecil belajar bertatih kemudian berjalan dan baharulah berlari. Begitu juga dalam menuntut ilmu. Jika dalam ilmu akidah para ulama’ sepanjang zaman menyarankan teks-teks asas yang ringkas sebagai permulaan. Antara yang sering disebut ialah Akidah Tahawiyah oleh Imam Abu Jaafar Tahawy. Ia telah diberikan syarahan oleh sultanul ulama’ Izz Abdul Salam, seorang imam dari mazhab Syafie.

Antara lain termasuk juga Akidah Wasitiyah Ibn Taimiyah, Usul Sunnah Imam Ahmad b Hanbal, anak murid kanan Imam Syafii dan jug Syarhu Sunnah Imam Barbahari. Jika diperhatikan semua teks-teks permulaan ini ringkas dan bersaiz kecil sahaja.

Manakala dalam ilmu hadis pula, salah satu teks asas yang wajib dipelajari oleh penuntut ilmu ialah hadis 40 susunan Imam Nawawi. Jangan sesekali ‘langkah bendul’ mempelajari Bulughul Maram oleh Ibn Hajar al-Asqani atau Umadul Ahkam oleh Ibn Ghani al-Maqdisy. Juga kitab-kitab teks hadis yang lebih besar dari itu seperti al-Minhaj Syarah Sahih Muslim apatah lagi Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari.

Ulama yang mula-mula mencetuskan idea sehingga Imam Nawawi menyusun kitab hadis 40 ini ialah Ibnu Shalah rhm yang hidup sebelum zaman Imam An-Nawawi rhm. Ibnu Shalah rhm telah mengumpulkan beberapa hadis yakni 27 hadis asalnya. Imam Nawawi rahimahu melihat bagus usaha ini maka ditambah sehingga menjadi 42 hadis, dan kemudian Ibnu Rajab Al-Asqalani datang dan menambah lagi sehingga genap 50.

Hadis 40 karangan asal Al-Imam Yahya Ibn Syaraf An-Nawawiy ataupun lebih dikenal sebagai Al-Imam An-Nawawi, wafat pada tahun 676 hijrah. Kitab ini asalnya mengandungi 42 hadis (dinamakan hadis 40 setelah dibundarkan) dan kemudian ditambah lapan hadis lagi menjadi 50 hadis oleh Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali iaitu ulama yang hidup pada kurun ke-7. Ibnu Rajab melihat ada 8 hadis penting yang perlu ditambah untuk melengkapkan kitabnya yang berjudul Jamiul Ulum wal Hikam.

Ciri-ciri hadis yang ada di dalam kitab ini umumnya adalah hadis-hadis usul (dasar) yang menjadi dasar dan prinsip agama yang penting. Inilah perkataan ringkas yang disebut oleh Nabi SAW sebagai jawaami’ul kalim, dalam hadis yang bermaksud

“Aku diutus dengan jawami’ul kalim.” (riwayat Al-Bukhari, no. 2755)

Menurut Ibnu Rajab Al-Hanbali, maksud jawami’ul kalim ialah perkataan yang ringkas tetapi maknanya luas. Sebagai contoh hadis pertama maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berasaskan niat.”

Nabi tidak perlu menyebut bahawa amalan puasa perlu dimulakan dengan niat, untuk bersolat perlu kepada niat, berzakat, haji, dan sebagainya perlu niat. Nabi menyebut perkataan yang pendek dan ringkas tetapi merangkumi maksud keseluruhannya. Inilah ciri-ciri hadis di dalam kitab ini.

Kitab ini penting walaupun kecil saiznya dan sedikit jumlah hadis di dalamnya tetapi kesemuanya merupakan dasar-dasar hukum, dasar-dasar akidah, ibadah, akhlak – perhubungan sesama manusia, kasih mengasihi sesama manusia, juga merangkumi tentang bid’ah, syariat Islam, dan akidah melalui hadis Jibril. Kitab yang kecil ini besar nilainya.

Selain Imam Nawawi, terdapat ramai ulama’ lain baik dari kalangan terdahulu mahupun kemudian menghimpunkan 40 hadis berdasarkan tema masing-masing. Namun berbanding yang lain hadis-hadis yang disusun oleh Imam Nawawi lebih dikenali. Ini berdasarkan sebuah riwayat yang disandarkan kepada Nabi saw maksunya, “Barangsiapa yang memelihara daripada umatku empat puluh hadis berkenaan dengan agama mereka, nescaya Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat kelak bersama golongan para fuqaha’ dan ‘ulama.”

Beberapa ulama-ulama hadis telah menilai hadis-hadis yang menetapkan kelebihan menyusun 40 hadis seperti di atas adalah hadis yang dhaif, antaranya Imam An-Nawawi sendiri, Imam Ad-Daruquthni yang hidup kurun ke-3 selepas daripada Imam Al-Bukhari, Imam Al-Baihaqi yang mengatakan semua sanad hadis ini dhaif, Imam Ibn Asakir, Imam Abdul Qadir Ar-Rahawi, dan termasuk juga Imam Ibnu Hajar Al-Atsqalani yang turut menilai dhaif kesemua hadis berkaitan kelebihan mengumpul 40 hadis.

Pun begitu berdasarkan ijitihad serta istikharah dan pertimbangan lain, maka Imam Nawawi tetap menyusun kitab ini. Jumlah hadis yang dikumpulkan ialah 40, namun sebutan judulnya dibundarkan menjadi 40 sahaja.

Kitab hadis 40 Imam Nawawi juga menjadi pilihan ramai ulama’ kemudiannya untuk dikaji dan disyarahkan secara terperinci. Antara yang paling awal mengarang kitab membahaskan karya ini ialah ulama’ yang hidup satu zaman dengan Imam Nawawi sendiri yakni Ibn Daqiq al-Eid.

Dari kalangan sarjana mutakhir pula termasuklah Syaikh Muhammad ibn Soleh al-Uthaimin rhm, Syaikh Abdul Muhsin Abbad al-Badr hfz, Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawwas dari Indonesia dan ramai lagi. Kesemua karya yang disebutkan sudah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu.

Sumber: http://www.ilmuanmalaysia.com

§ One Response to Hadis 40 sebagai sendi dan asas agama Islam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

What’s this?

You are currently reading Hadis 40 sebagai sendi dan asas agama Islam at Kitab Hadith dan Syarah Hadith.

meta

%d bloggers like this: