Perkembangan Terjemahan Buku Agama ke bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia

Mac 3, 2015 § Tinggalkan komen

Perkembangan Terjemahan Buku Agama ke bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia

Mohd Riduan b Khairi, R&D PPY Group Sdn Bhd.

fathul_bariSalah satu stigma pembaca buku bahasa Melayu terhadap buku-buku bahasa Indonesia ialah ‘tidak faham.’ Ini satu kerugian besar kerana industri buku di Indonesia berkembang pesat terutamanya dalam bidang terjemahan.

Indonesia dan Malaysia keduanya mengambil dialek Johor-Riau sebagai dialek rasmi. Maka sebenarnya tidak banyak beza antara bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Indonesia.

Mengapa lagu-lagu dan sinetron dari Indonesia boleh mendapat tempat dalam masyarakat, sebaliknya untuk karya ilmiah tidak?

Di bawah ini saya bawakan sampel perbezaan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dari sebuah kitab terjemahan hadis.

Jadual 1: Sampel perkataan yang berbeza dari terjemahan Malaysia dan Indonesia.

Sumber: Ensiklopedia Hadits, Pustaka Al-Mahira, Terjemahan:

  Indonesia Malaysia
Ejaan Karena Kerana
1. Shalat Solat
2. Putra Putera
3. Khawatir Khuwatir
4. Hadits Hadith
5. Shahabat Sahabat
6. Shalawat Selawat
7. diridhai diredhai
8. Shahih Sahih
9. Populer Popular
10. Berkualitas Berkualiti
  Nomor Nombor
  Mengherankan Menghairankan
Istilah
1. Mengabarkan Memberitahu
2. Beliau Baginda
3. Membutuhkan Memerlukan
4. Menyeleksi Memilih/ Menyaring
5. Otentisitas Keaslian

Catatan:

  1. Perbezaan yang paling ketara dan banyak ialah system ejaan. Ini tidak mengganggu pembacaan dan pemahaman pembaca.
  2. Perbezaan kedua ialah istilah. Pun begitu ia masih boleh dapat difahami kerana Bahasa Indonesia menterjemah terus istilah dari Bahasa Inggeris. Manakala Bahasa Melayu cuba mendapatkan padanan terjemahan dalam bahasa Melayu sebelum meminjam terus istilah tersebut.
  3. Pun begitu tidak dinafikan, perbezaan kecil ini tetap memberi kesan secara tak langsung kepada kelancaran membaca. Yang paling utama ialah edisi terjemahan dalam bahasa Melayu sendiri.
  4. Namun situasinya usaha terjemahan buku agama ke dalam bahasa Melayu seakan sudah lama terhenti. Antara penerbit Melayu yang aktif menerbit dan menterjemah buku agama dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu ialah Pustaka Nasional Singapura dan Victory Agencies, Kuala Lumpur. Walaupun penerbit itu masih aktif, namun mereka kekurangan penterjemah yang credible untuk menterjemah judul-judul baharu dan membaiki kualiti terjemahan yang sedia ada. Edisi yang ada dalam kes Kutub Sittah ialah edisi yang diterjemah puluhan tahun yang lalu.
  5. Situasi kedua perkembangan penterjemahan buku agama ialah kira-kira 10 tahun belakangan ini gejala ‘cetak rompak’ terjemahan dalam industry buku Melayu berleluasa. Sumber dalaman industry penerbitan buku agama menyatakan bahawa penerbit no. 1 buku agama dalam negara kita ialah penerbit yang paling banyak mencetak rompak terjemahan dari Indonesia tanpa izin. Jadi, kualiti terjemahannya sama bahkan lebih buruk dari edisi moden terjemahan Indonesia.

Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)

  1. Suatu masa dahulu Dewan Bahasa dan Pustaka amat cemerlang dalam usaha menterjemah buku-buku agama dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu bermula awal 80-an sehingga penubuhan ITNM). Banyak karya agung besar Berjaya diterjemahkan seperti terjemahan karya monumental Ibn Kathir berjudul Bidayah wan Nihayah dan terjemahan Fiqhul Islam wa Adillatuhu oleh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili dibiayi oleh pihak YaPEIM sendiri. Lebih awal dari itu pihak YaPEIM juga pernah bekerjasama menerbitkan terjemahan Fi Zilali Qur’an yang pernah terbit pertama kali 1989. Namun selepas melalui beberapa fasa perkembangan dan perubahan pengurusan, hari ini usaha menterjemah karya besar agama dilihat tidak lagi berlaku di dalam DBP melainkan naskah-naskah kecil.
  • Uthman El-Muhammady (1991), Al-Qur’an al-Karim karya asal Abdullah Yusuf Ali

Kini fokus perterjemahan DBP ialah karya-karya agong Melayu.

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)

  1. Penubuhan ITNM pada tahun 1993 oleh pihak kerajaan bertujuan untuk mengembalikan era kegemilangan dunia terjemahan dalam bahasa Melayu. Namun buat masa ini fokus utama ITNM ialah menterjemah karya-karya bukan agama.

Pts Publication

  1. Satu-satunya penerbit mutakhir yang paling aktif dan komited menterjemah buku ke dalam bahasa Melayu khususnya buku agama ialah Pts Publication yang ditubuhkan pada tahun 2000. Walaupun masih agak baharu berbanding penerbit lain, namun Pts telah berjaya menerbitkan ribuan judul buku dan sudah menterjemah ratusan judul dari bahasa asing ke dalam bahasa Melayu. Kualiti terjemahan Pts antara yang paling baik pada hari ini kerana penasihat Pts sendiri Prof. Emiritus Dr. Abdullah Hassan merupakan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia. Pts menyediakan latihan intensif kepada penterjemahnya dan hanya meluluskan penterjemah yang mencapai gred A.
  2. Dan Pts sudah mengorak langkah kedepan dengan merancang untuk menerbitkan karya-karya besar dalam agama ke dalam bahasa Melayu. Antara judul yang sudah diterjemah dan sudah berada di dalam pasaran ialah terjemahan Riyadus Solihin oleh Imam Nawawi. Sukar untuk menafikan bahawa edisi terjemahan Pts setakat ini adalah terjemahan yang terbaik dalam sejarah penterjemahan tempatan.
  3. Contoh Bab terjemahan dari terjemahan Riyadus Solihin versi Pts. Terjemahan dilakukan sendiri oleh Pengerusi Pts Pn Ainon Mohd dan mendapat khidmat konsultasi Dr. Aries Salleh Rosman, pensyarah bidang agama: http://pts.com.my/buku/riyadus-solihin/

Ikhlas

Allah berkata menerusi surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud, “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh atas tauhid; dan supaya mereka melakukan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Allah berkata lagi menerusi surah al-Hajj ayat 37 yang bermaksud, “Daging dan darah haiwan korban ataupun hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Dia adalah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.”

Allah berkata juga menerusi surah Ali Imran ayat 29 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya.’”

  1. Abu Hafs, nama sebenarnya Umar bin Khattab bin Nufail, bin Abdul Uzza, bin Riah, bin Abdullah, bin Qurt, bin Razah, bin Adi, bin Kaab, bin Luai, bin Ghalib al-Qurashi al-Adawi berkata, “Saya pernah mendengar Rasulullah berkata, ‘Amalan seseorang ditentukan oleh niatnya, oleh itu setiap orang mendapat apa yang dia niatkan. Itulah sebabnya, orang yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, hijrahnya itu adalah kepada Allah dan rasul-Nya. Tetapi bagi sesiapa yang berhijrah dengan niat hendak mendapatkan keuntungan di dunia, ataupun bagi mendapatkan isteri, dia mendapat apa yang dia niatkan semasa dia berhijrah.’”

Hadis ini disepakati kesahihannya. Hadis ini direkodkan oleh dua orang pakar ilmu hadis dalam buku masing-masing berjudul Sahih. Kedua-dua buku itu adalah buku yang paling berautoriti dalam merekodkan hadis-hadis sahih. Pakar pertama, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail, bin Ibrahim, bin al-Mughirah, bin Bardizbah al-Ja’fi al-Bukhari. Pakar kedua, Abu Husin Muslim bin Hajjaj, bin Muslim, al-Qusyairi al-Naisaburi.

Bacaan Tambahan

Hasuria Che Omar, Haslina Haroon, Aniswal Abd. Ghani (2009), Kelestarian Bidang Penterjemahan, Kuala Lumpur: ITBM

http://universitipts.com/index.php/site/comments/pasaran_buku_terjemahan2/

http://harithsidek.blogspot.com/2013/03/pustaka-antara-baranya-masih-ada.html

http://satuumat.blogspot.com/2010/08/perjuangan-dakwah-pustaka-salam.html

Tagged: ,

Tinggalkan komen

What’s this?

You are currently reading Perkembangan Terjemahan Buku Agama ke bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia at Kitab Hadith dan Syarah Hadith.

meta